Bosou atau juga dikenali sebagai Tonsom merupakan salah satu merupakan salah satu hidangan
sampingan tradisional istimewa bagi suku kaum Kadazan-Dusun, Sabah. Bosou merupakan
makanan tradisi yang menyerupai perkasam atau 'jeruk'. Bagi suku kaum Ranau, ia dikenali
sebagai 'tinamba'. Bosou biasanya dihasilkan dari ikan Kepayang ("Pangium edule") atau
daripada daging mentah hasil perburuan.
CARA MEMBUAT BOSOU

Bosou disediakan daripada daging atau ikan mentah yang akan digaul bersama-sama dengan
nasi putih, garam, dan buah. Ia juga boleh ditambah dengan buah nangka, nenas muda, dan
tuhau bagi menambah perisa. Batang pisang atau 'polod' juga kadang-kala dicampurkan kepada
bosou ini. 'Panggi' iaitu sejenis bahan pengawet juga boleh ditambah untuk mengelakkannya
daripada menjadi basi dan berbau busuk.
Campuran ini kemudiannya akan diperam di dalam bekas (biasanya daripada tajau kecil) dan
ditutup rapat selama seminggu atau sehingga betul-betul telah masak sebelum dapat dimakan.
Sekiranya nasi yang digunakan baru di masak, campuran itu akan dibiarkan sehingga mencapai
suhu bilik sebelum disimpan. Bosou biasanya disimpan dalam bekas tertutup kemas, kedap
udara.
Oleh kerana bosou mempunyai bau yang kuat, biasanya bekas menyimpan bosou dibuat kedap
udara. Ini kerana bagi mengelakkan ia menarik dan dicemari lalat dan bagi mengelakkan
pertumbuhan fungi. Bekas tradisi bagi menyimpan bosou adalah botol berbentuk labu yang
ditutup dengan lilin lebah. Bekas tradisi lain termasuk kakanan, tetapi kini ia telah
digantikan dengan bekas plastik dan botol kaca. Biasanya bosou disimpan selama lima
sehingga tujuh hari sebelum dihidangkan.
Bosou boleh dihidangkan begitu sahaja atau dimasak terlebih dahulu. Bosou biasanya dimasak
bagi menghilangkan bau dan bagi menambah perisanya. Bawang, cili , dan bahan lain boleh
ditambah bagi menambah perisa semasa memasak. Asasnya, masakan kaum dusun ini adalah
makanan yang direbus sahaja. Kebanyakan masyarakat Dusun menggemari sayur-sayuran segar
sebagai hidangan yang dinikmati bersama nasi putih bersama bosou ini, sama seperti
hidangan budu atau tempoyak yang terdapat di semenanjung Malaysia.
Ulasan
Catat Ulasan