MUHAMMAD Samri (depan) bersama Salina Dtiaudin dihukum gantung sampai mati dan penjara 10
tahun oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar atas kesalahan mengedar dan memiliki dadah dua tahun
lalu di Kulim. - Foto Sharul Hafiz Zam
ALOR SETAR: Sepasang kekasih dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di
sini, sebentar tadi selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mengedar dan memiliki
dadah, dua tahun lalu.
Hakim Datuk Hashim Hamzah turut menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Muhamad
Samri Hashim, 40, yang kudung kaki kanan dan Salina Dtiauddin, 32, selepas pihak pembelaan
gagal menimbulkan keraguan munasabah.
Selain itu, bapa seorang anak terbabit turut dikenakan 10 sebatan.
Mengikut kertas pertuduhan, Muhamad Samri dan Salina didakwa mengedar dadah berbahaya
heroin seberat 23.32 gram dan monoacethylmorphines 3.55 gram di dalam kereta jenis Proton
Perdana di Jalan Bukit Awi, Kulim, dekat sini, pada jam 1 pagi, 12 Mac 2016.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh
dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan
yang membawa hukuman gantung sampai mati.
Bagi pertuduhan kedua, Muhamad Samri dan Salina didakwa memiliki dadah jenis
methamphethamine seberat 39.41 gram di tempat dan masa sama.Mereka didakwa mengikut
Seksyen 12(2)/39A(2) ADB 1952 yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang
lima tahun dan minimum 10 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Shuhada Mohd Yatim manakala kedua-dua
tertuduh diwakili peguam, M Chandran dan Burhanudeen Abdul Wahid.
Selepas dijatuhkan hukuman, Salina yang juga ibu tunggal tiga anak dilihat menangis di
kandang tertuduh manakala ahli keluarganya yang turut kelihatan di kerusi awam turut
menitiskan air mata.
sumber:BH
Ulasan
Catat Ulasan