FADZIL Ahmat. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
KUALA LUMPUR: Lelaki dipercayai berstatus 'Datuk Seri' yang didakwa memukul tiga anggota
Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang sedang bertugas di sebuah tokong dekat Kampung
Baru di sini kelmarin, diminta segera menyerah diri.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat,
berkata pihaknya sudah mengenal pasti suspek berusia 29 tahun itu, namun setakat ini
suspek belum tampil membantu siasatan.
"Suspek dalam kes ini sudah dikenal pasti.
"Dia dipercayai bergelar 'Datuk Seri' dan berusia 29 tahun. Justeru, kita minta dia serah
diri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Fadzil berkata, setakat ini siasatan lanjut berhubung kes itu masih dijalankan dan polis
membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan
kecederaan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.
Semalam, BH melaporkan tiga anggota RELA Melvin Cheong Mun Khai,19; Leong Jiun Jie,21, dan
Lee Weng Poh, 27, masing-masing cedera bengkak di mata kiri selain sakit di beberapa
bahagian badan selepas mendakwa dipukul dan ditendang lelaki itu.
Mereka mendakwa kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu berlaku hanya kerana mereka meminta
'Datuk Seri' itu untuk mengalihkan kenderaan jenis Toyota Vellfire yang diletakkan di tepi
jalan besar kerana menghalang lalu lintas.
Berikutan kejadian, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Ampang, selain turut membuat
aduan kepada Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong, yang
juga Timbalan Pesuruhjaya Kehormat RELA.
sumber:BH
Ulasan
Catat Ulasan