WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) kembali menerima pelarian selepas larangan 120 hari
tamat, namun sekatan masih terpakai ke atas 11 negara 'berisiko tinggi', majoritinya
negara Islam.
Pihak berkuasa AS berkata semalam, larangan sementara itu, diperjuangkan Presiden Donald
Trump sejak Januari lalu dan dikuatkuasakan akhir Jun selepas keputusan Mahkamah Tinggi,
membolehkan kerajaan mengkaji semula prosedur keselamatan dan melaksanakan tapisan lebih
ketat.
Pengarah Bersekutu untuk pelarian di agensi Perkhidmatan Imigresen dan Kewarganegaraan AS,
Jennifer Higgins berkata, pemohon akan melalui proses tapisan lanjutan susulan kajian
semula itu, termasuk pemeriksaan lebih teliti ke atas akaun media sosial mereka.
"Keselamatan rakyat AS menjadi keutamaan kami," kata Higgins dalam taklimat media.
Trump mengeluarkan perintah eksekutif baharu lewat semalam menggantikan arahan tamat
tempoh sebelum ini, iaitu sebahagian daripada larangan perjalanan kontroversi yang
mencetuskan siri tindakan mahkamah berikutan menyasar umat Islam.
Arahan baharu itu seiring dengan pengurangan mendadak kemasukan jumlah pelarian.
Presiden Barack Obama sebelum ini menetapkan jumlah kemasukan pelarian sebanyak 110,000
orang untuk tahun fiskal berakhir 30 September tahun ini, namun Trump mengurangkannya
kepada 53,000 orang.
Untuk tahun fiskal 2018, Trump mengurangkan jumlah maksimum itu kepada hanya 45,000
pelarian.
Pihak berkuasa enggan menyenaraikan 11 negara disebutkan namun berkata, ia sama seperti
senarai 2015 untuk tapisan lebih ketat, memerlukan satu 'Pendapat Nasihat Keselamatan.'
Ia kini termaktub kepada satu lagi semakan keselamatan dan perisikan selama 90 hari, namun
pihak berkuasa tidak mengatakan bila ia dilaksanakan.
Agensi pelarian menyenaraikan negara terjejas seperti Mesir, Iran, Iraq, Libya, Mali,
Korea Utara, Somalia, Sudan Selatan, Sudan, Syria dan Yaman. -AFP
Ulasan
Catat Ulasan