KETUA Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra
Malaysia (UPM), Prof Dr Law Teik Hua. - Foto Syarafiq Abd Samad
KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran melaksanakan dasar tamat hayat kenderaan bermula dengan
pengangkutan komersial seperti bas dan lori di negara ini, sebagai permulaan kepada usaha
mengurangkan risiko kemalangan disebabkan faktor usia pengangkutan terbabit.
Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra
Malaysia (UPM), Prof Dr Law Teik Hua, berkata dasar itu perlu dilaksanakan kepada
kenderaan komersial kerana impak kemalangan lebih teruk serta kebiasaannya membabitkan
jumlah kematian yang tinggi.
Katanya, perlu ada kajian mendalam bagi mewujudkan dasar terbabit, khususnya dalam
menetapkan had usia yang sesuai, memandangkan kemalangan bukan berpunca daripada satu
faktor semata-mata, sebaliknya saling berkait di antara satu sama lain.
"Kerajaan mungkin boleh menetapkan had usia 10 tahun seperti dilaksanakan di Jepun dan
Singapura, kemudian meletakkan pilihan melanjutkan penggunaan kenderaan itu jika ia masih
boleh berfungsi dengan baik.
"Risiko kemalangan memang meningkat apabila had usia kenderaan bertambah, namun ia juga
berkait dengan faktor pemandu, seperti cara pemanduan serta penyelenggaraan kenderaan.
"Antara faktor paling penting adalah membabitkan komponen sistem brek dan tayar kerana ia
memiliki usia yang pendek, namun jika diselenggara dengan rapi, tiada masalah untuk
sesuatu kenderaan digunakan dalam tempoh lama.
"Kementerian Pengangkutan perlu mengkaji data kenderaan dan kemalangan secara teliti serta
menghubungkannya dengan semua faktor jika mahu mewujudkan dasar ini," katanya ketika
dihubungi, hari ini.
Semalam, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata pihaknya sedang mengkaji
kesesuaian mewujudkan dasar tamat hayat kenderaan, bagi mengurangkan risiko kemalangan
disebabkan faktor usia kenderaan seperti kemalangan dua bas kilang berhampiran Plaza Tol
Juru, Pulau Pinang pada Selasa lalu, yang menyebabkan lapan maut.
Sementara itu, Pengarah Institut Pengangkutan Malaysia (MITRANS) Universiti Teknologi MARA
(UiTM), Dr Harlina Suzana Jaafar, mengakui negara memerlukan dasar terbabit tetapi
kerajaan perlu mengkaji kesediaan rakyat menerima pelaksanaannya.
Katanya, dasar seumpamanya bukan baharu di Malaysia kerana pernah diperkenalkan pada tahun
2011 menerusi kajian semula Dasar Automotif Nasional (NAP), namun ditarik balik kerana
menerima banyak tentangan.
Bagaimanapun, beliau mengakui tidak memiliki statistik khusus mengenai kemalangan
disebabkan faktor usia kenderaan, memandangkan data mengenainya adalah sulit.
"Langkah beberapa negara maju melaksanakan dasar ini membuktikan ia satu keperluan, namun
memerlukan kajian bagi membuktikan usia kenderaan menyumbang pada kemalangan.
"MITRANS pernah cuba melakukan kajian punca kemalangan jalan raya, namun terlalu banyak
data diklasifikasi sebagai sulit, menyebabkan ia tidak boleh dilaksanakan.
"Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) perlu main peranan lebih
besar dalam mewujudkan dasar ini, namun kajian perlu meneliti pelbagai sudut," katanya.
tamat.
SUMBER:BH
Ulasan
Catat Ulasan