Masyarakat bajau merupakan salah satu kaum yang terbesar di Sabah. Masyarakat Bajau boleh
didapati dan biasanya boleh dilihat di sekitar persisiran pantai Sabah. Seperti mana suku
kaum lain yang terdapat di Malaysia, masyarakat Bajau juga kebanyakkannya menjadi nelayan
dan petani. Pada suatu ketika dahulu, sebelum datangnya Islam masyarakat Bajau mengamalkan
agama animisme. Walau bagaimanapun, masih ada masyarakat Bajau yang masih mempercayai dan
mengamalkan adat, budaya pantang larang yang diwarisi secara turun-temurun. Antaranya
ialah tentang makhluk ghaib atau makhluk halus yang sukar dilihat oleh mata manusia biasa.
Hantu yang diwarisi.
1. Gimbaran
Gimbaran merupakan sejenis makhluk halus yang biasanya dijadikan kawan atau teman kepada
pemiliknya. Dalam erti kata lain manusia menjadikan makhluk halus sebagai kawannya. Hanya
tuannya sahaja yang boleh berurusan dan berinteraksi dengan makhluk tersebut. Biasanya
manusia yang menjadikan makhluk halus ini sebagai kawan kerana untuk meminta bantuan
khususnya dalam bidang perubatan. Untuk pengetahuan pembaca setia urangsabah.com semua,
kebiasaannya Gimbaran diperolehi dengan mewarisinya dari nenek moyang atau menuntut ilmu
hitam. Masyarakat melayu biasanya menyebutnya sebagai saka. Orang yang memiliki Gimbaran
atau saka biasanya tidak menyedarinya sehinggalah dia bermimpi atau terjadinya sesuatu
yang pelik dan luar biasa kepada dirinya. Gimbaran akan mencari tuan baru bilamana tuannya
sedang nazak atau sudah tiba masanya. Kebiasaannya pada zaman dahulu, masyarakat Bajau
menjadikan golongan ini sebagai tempat rujukan dan bergantung terutamanya dalam hal
mengubati penyakit kerana mereka percaya bahawa jin mampu mengubati penyakit, melindungi
atau melawan kuasa-kuasa jahat yang mengganggu kehidupan mereka.
Orang yang memiliki Gimbaran biasa akan melakukan amalan ‘berasi’ atau ‘mengalai’. Amalan
ini biasanya berkaitan dengan perubatan menggunakan pertolongan jin atau makhluk halus.
Masyarakat Bajau amat percaya ketika pemilik Gimbaran sedang ‘mengalai’ dia akan tahu jika
terdapat sesiapa yang mentertawakannya atau tidak percayakannya walaupun tanpa memberitahu
atau menunjukkan perlakuan. Dinasihatkan kepada mereka yang tidak mempercayaai ritual ini
agar meninggalkan kawasan tersebut bagi mengelakkan ‘gimbaran’ marah.
2. Balan-balan
Selain Gimbaran, masyarakat Bajau juga sangat percaya kepada sejenis makhluk yang mungkin
juga boleh disebut sebagai hantu atau manusia. Balan-balan merupakan manusia yang salah
menuntut ilmu, manusia ini dikatakan boleh mencabut kepada dari tubuhnya. Tujuan mereka
mengamalkan ilmu ini adalah kerana ingin kekal muda, cantik dan hidup lama. Sesiapa yang
ingin menuntut ilmu ini perlulah mengamalkan bacaan jampi dan mentera tertentu selama
empat puluh empat malam berturut-turut. Selepas cukup empat puluh empat malam, badan
pengamal ilmu syaitan ini akan menjadi panas dan miang sebelum kepalanya tercabut dan
terpisah dari badannya. Dalam kalangan orang melayu, balan-balan dikenali sebagai hantu
penanggal atau tenggelong. Makhluk ini biasanya menjadikan darah atau uri perempuan
bersalin sebagai makanannya.
Untuk pengetahuan pembaca setia urangsabah.com semua, balan-balan hanya akan terbang atau
mencari mangsanya pada waktu malam dan pada siang hari ia bergerak seperti manusia biasa.
Dikatakan juga apabila balan-balan ini sedang terbang pada waktu malam, orang yang
melihatnya akan nampak seperti sebuah cahaya berbentuk bulat yang bergerak diudara. Ini
disebabkan darah yang menitis daripada isi-isi perutnya yang terburai. Selain itu,
dikatakan juga bahawa terdapat balan-balan yang boleh berjalan seperti orang biasa. Orang
hanya akan mengetahui jika seseorang itu balan-balan hanya apabila berlakunya kelahiran
atau kematian. Terdapat juga balan-balan yang mempunyai jasad seperti manusia biasa,
mereka ini hanya berjalan pada waktu malam. Untuk mengetahui samada balan-balan berada
berdekatan dengan kita atau tidak ialah dengan mendengar hilai tawanya.
Bunyi seperti kuda atau ayam tetapi nyaring. Sekiranya bunyi hilai ketawanya kuat
didengar, maknanya balan-balan itu berada jauh dari tempat orang yang mendengar tetapi
sekiranya bunyinya kedengaran sayup-sayup dikejauhan makna balan-balan itu berada
berdekatan kita . Balan-balan tidak tahan dan takut kepada air dan bau limau. Bagaimanapun
seseorang yang memiliki ilmu balan-balan ini masih boleh diubati. Antara contoh perubatan
ialah dengan meminumkan seseorang pengamal itu dengan air tembakau. Setelah itu ia
dihayunkan sehingga mabuk dan termuntah. Apabila pengamal tersebut muntah, akan keluar
bersama muntahnya sejenis lembaga berupa burung (burung pipit) atau anak tikus. Dipercayai
sekiranya seseorang itu memuntahkan burung, bermakna ia mengamalkan ilmu balan-balan yang
boleh terbang. Manakala sekiranya ia memuntahkan anak tikus bermakna ia mengamalkan ilmu
balan-balan yang berjalan seperti manusia biasa.
Mitos roh orang mati bangkit dari kubur
1. Mangat
Dalam istilah Bajau, mangat merupakan hantu, Mangat mengikut kaum Bajau merujuk kepada
semua jenis hantu. Istilah ini berasal dari perkataan melayu iaitu ‘semangat’ yang
bermaksud roh. Namun begitu, terdapat segelintir dari masyarakat Bajau mempercayai bahawa
mangat ialah sejenis hantu yang bangkit dari kubur atau lebih dikenali sebagai Hantu
Bangkit. Walau bagaimanapun cerita mengenai hantu ini masih belum dapat dibuktikan
kesahihannya.
2. Hantu Bangkit
Sama seperti cerita hantu pocong versi melayu, hantu Bangkit juga muncul setelah seseorang
yang beragama islam murtad. Masyarakat Bajau percaya bahawa orang yang meninggal dalam
keadaan murtad akan bangkit menjadi hantu dan akan merayau-rayau di sekitar tempat tinggal
sepanjang hayatnya. Oleh kerana kepercayaan inilah masyarakat Bajau akan menjaga kubur
orang yang baru mati selama tujuh malam berturut-turut. Mengikut kepercayaan orang lama
Bajau, hantu Bangkit dikenali sebagai ‘panggua’ atau ‘pangguwa’ ianya merujuk kepada hantu
yang keluar dari kubur orang yang baru meninggal.
Penunggu Yang Menghuni Sesuatu Tempat Yang Keramat Atau Keras
1. Kokok atau Soyang.
Hantu kokok adalah sejenis hantu yang akan muncul selepas hujan bertujuan untuk
menyesatkan manusia atau menyembunyikan mangsanya. Kokok boleh bertukar wajah menjadi
seseorang yang sangat dikenali oleh mangsa dan mangsa yang terpedaya dengan muslihat kokok
akan mengikut ke mana sahaja kokok pergi. Keadaan ini menyebabkan si mangsa dengan mudah
mengikut ajakannya.
Mangsa sendiri tidak sedar yang dia telah disembunyikan kerana kokok melakukan penyamaran
yang sangat sukar untuk dikesan ditambah lagi dengan tiada tingkah laku yang ganjir.
Mangsa boleh melihat dan nampak orang lain termasuk orang yang mencarinya tetapi orang
lain tidak nampak akan dirinya. Mangsa juga dikatakan tidak boleh bercakap.
Biasanya orang-orang tua yang pandai akan dipanggil untuk mengesan mangsa. Dengan jampi
serapah yang dibaca oleh orang ‘pandai’ itu, mangsa boleh ditemui antara 30 minit hingga
beberapa jam selepas itu. Biasanya mangsa didapati berada di sekitar tempat pencarian itu
dilakukan dalam keadaan duduk-duduk (rileks) tetapi sukar berbicara. Kadang-kadang badan
mangsa berlumuran dengan cecair licin dan berbau hanyir. Mangsa akan dimandikan oleh orang
‘pandai’ itu sebelum dibawa naik ke rumah untuk dipulihkan semangatnya dan membersihkan
tubuhnya.
2. Galap
Galap merupakan hantu air yang suka menggoda para nelayan atau pemancing terutama semasa
waktu maghrib hingga isyak. Jika para nelayan menangkap ikan, ikan yang ditangkap adalah
luar biasa. Selalunya pancingnya selalu mengena, tidak perlu menunggu lama. Dan ada
ketikanya ikan yang diperolhi agak ganjil. Contohnya kail melekat pada ekor ikan tersebut
atau ikan yang diperolehi tidak cukup sifatnya.
Itulah antara kepercayaan yang masih menjadi pegangan masyarakat Bajau mengenai makhluk
halus atau hantu. Jadi kepada pembaca setia urangsabah.com semua, jika ada sebarang
pandangan, cadangan atau apa-apa info boleh tulis diruang yang telah disediakan.
sumber:urangsabah.com
Ulasan
Catat Ulasan