
Misteri kotak hitam yang ditemui oelh netizen di tepi peti fius elektrik berhampiran
pintu masuk pusat beli belah di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur terungkai selepas polis
mengesahkan objek berkenaan bukan bahan letupan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, pihaknya
menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira 10 malam tadi.
"Anggota polis bantuan pusat beli belah berkenaan memaklumkan penemuan kotak hitam
berukuran kira-kira 10 x 5 sentimeter yang kelihatan seperti bom.
"Sebaik menerima panggilan kecemasan daripada angota polis bantuan itu, sepasukan polis
bersama unit pengesan anjing (K9) dikerahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan
pemeriksaan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Mohd Sukri berkata, unit pemusnah bom tiba di lokasi kejadian kira-kira 12 tengah malam
untuk melakukan pemeriksaan lanjut.
"Kotak itu dimusnahkan oleh unit pemusnah bom pada 1.50 pagi.
"Pemeriksaan lanjut mendapati kotak itu tidak mengandungi sebarang bahan letupan.
"Kami masih lagi membuat siasatan berhubung isi kandungan dalam kotak berkenaan," katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti identiti individu
yang meletakkan kotak berkenaan di lokasi terbabit.
"Kami akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi kejadian bagi
mengesan individu yang meletakkan kotak berkenaan," katanya.
Sumber: Harian Metro
Ulasan
Catat Ulasan