![]() |
SEBAGAI GAMBAR HIASAN |
KUALA LUMPUR: Tiada satu pun premis mesin judi atas talian di sekitar Kuala Lumpur, yang
beroperasi semula selepas polis menggeledah 115 premis berkenaan, malam tadi.
Kesemua premis berkenaan diperiksa dalam Ops Waran Geledah, yang dijalankan Polis
Kontinjen Kuala Lumpur bersama daerah Dang Wangi, Sentul, Cheras, Brickfields dan Wangsa
Maju, selepas polis menerima waran penggeledahan dari mahkamah.
Hasil serbuan yang dijalankan secara serentak itu, hanya dua premis di dalam daerah Dang
Wangi, dikesan masih menyimpan peralatan dan rangka mesin perjudian.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner
Alzafny Ahmad, berkata serbuan berkenaan adalah untuk memastikan premis-premis yang pernah
diserbu sebelum ini tidak beroperasi semula.
"Secara keseluruhan kami mendapati semua premis berkenaan tidak beroperasi semula selain
tidak mempunyai sebarang peralatan seperti komputer, simulator, monitor, papan kekunci
yang lazimnya digunakan dalam aktiviti judi atas talian.
"Namun dalam pemeriksaan ke atas dua premis di Chow Kit dan Jalan Ampang, pihak polis
menemui dan merampas 4 monitor; 7 komputer, 55 papan kekunci serta 8 simulator yang tidak
digunakan," katanya dalam sidang media di Dang Wangi, sebentar tadi.
Beliau berkata pemeriksaan dan serbuan ke atas premis perjudian di sekitar Kuala Lumpur,
dilakukan sejak sebulan lalu.
"Operasi ini juga adalah bagi memastikan mana-mana sindiket perjudian cuba untuk
menjalankan semula aktiviti perjudian mereka secara sembunyi.
"Justeru, Polis Kuala Lumpur akan terus memohon waran geledah daripada pihak mahkamah
untuk meneruskan tindakan penggeledahan di premis perjudian yang masih meneruskan aktiviti
mereka," katanya.
Hasil tinjauan bersama BH bersama pihak polis sepanjang operasi berkenaan, kesemua premis
di daerah Sentul, dan Wangsa Maju, didapati dikosongkan oleh sindiket perjudian.
Sindiket terbabit bertindak sedemikian dipercayai selepas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan
Sri Noor Rashid Ibrahim, mengisytiharkan perang habis-habisan terhadap aktiviti perjudian
atas talian pada 27 September lalu.
SUMBER: BERITA HARIAN
Ulasan
Catat Ulasan