"Makcik Jangan Takut Kepada Anak..." - Mahkamah Majistret Kota Bharu Beri Peluang Ibu Jatuh Hukuman Kepada Anak

Kota Bharu, 3 Okt - Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini memberi peluang kepada seorang
ibu untuk menjatuhkan hukuman kepada anaknya sendiri.
Majistret, Nik Habri Muhamad memberi peluang kepada ibu berusia 52 tahun itu untuk
menjatuhkan huuman terhadap anaknya yang berusia 28 tahun selepas tertuduh melakukan
ugutan jenayah terhadap si ibu dengan mengacukan sebilah gunting bermaksud untuk
menakutkan mangsa.
Lelaki itu dituduh melakukan kesalahan itu pada 19 Jun lepas dan didakwa melakukan
kesalahan dibawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara selama dua tahun
atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Lelaki itu bagaimapun dalam rayuannya memohon maaf terhadap ibunya dan berjanji untuk
tidak melakukan kesalahan sama.
Majistret kemudian memanggil si ibu ke sebelah kandang tertuduh bagi memberi penghormatan
kepada mangsa untuk menjatuhkan hukuman kepada tertuduh.
"Saya beri penghormatan kepada mak kamu untuk hukum kamu. Makcik jangan takut kepada anak.
Makcik boleh mohon nak hukuman berat atau ringan dan saya akan pertimbangkan," katanya
sebagaimana lapor Bernama.
Si ibu bagaimanapun memaafkan kesalahan anaknya itu dan meminta mahkamah supaya
menjatuhkan hukuman ringan sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama satu tahun
dari tarikh tertuduh ditangkap.
Dalam hujahnya, Nik Habri berkata, kes berkenaan diharap dapat dijadikan pengajaran kepada
tertuduh serta orang lain agar menghormati ibu masing-masing.
"Saya serius dengan kes begini. Kamu bernasib baik kerana mak kamu minta hukuman ringan.
Ada kes lain saya bagi hukuman penjara maksimum lima tahun.
"Kalau kamu ulangi kesalahan sama saya akan kenakan hukuman berat. Kerana menghargai
permintaan mak kamu, saya hukum kamu dengan penjara 12 bulan," katanya.
Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa raya Hamidah Mahmood.
Sumber: Bernama/ mStar
Ulasan
Catat Ulasan