
Terdapat banyak sebab kenapa digalakkan mengembara di usia muda dan kenapa anda perlu
melalukannya. Di sini ada sembilan sebab yang dapat membantu anda untuk mengorak langkah
pertama menjelajah dunia.
1. Mengenalpasti kemahuan dalam hidup anda
Adalah menjadi perkara normal apabila manusia tidak tahu apa yang mereka inginkan
sebenarnya dalam kehidupan mereka sehinggalah mereka sendiri mencuba sesuatu. Mengembara
ketika usia muda adalah platform terbaik untuk mempelbagaikan pengalaman dan mengenalpasti
apa tujuan hidup. Setiap negara, setiap bandar, malah setiap restoran yang anda kunjungi
akan memberi peluang untuk anda menikmati pelbagai pengalaman berbeza. Lebih baik anda
sedar akan keinginan dan potensi diri di usia muda berbanding menyedarinya di kemudian
hari yang ketika itu sudah pun terlewat.
2. Kurang aset menjadikan anda lebih bebas
Semakin meningkat dewasa, anda mula mengumpul aset-aset seperti kereta, rumah, keluarga
dan sebagainya. Mengembara sebelum tiba peringkat itu akan menjadi lebih mudah dan bebas
kerana tiada sekatan atau bebanan. Ketika itu aset pun masih belum banyak. Anda boleh
mengembara dengan tempoh masa yang lama, lebih kerap dan lebih jauh.
3. Mengembara boleh menjana ilmu
Pendidikan di luar lebih luas daripada pendidikan di sekolah dan sudah tentu ianya boleh
didapati melalui pengembaraan. Dengan mengembara, anda boleh meluaskan ilmu pengetahuan
yang kesemuanya boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Malah sedar atau tidak, anda
akan menjadi semakin berkeyakinan, berani, bijak membuat keputusan, bijak menangani
masalah dan sebagainya. Sesungguhnya, dunia ini adalah universiti kehidupan.
4. Mengembara menjadikan personaliti anda lebih menarik
Tiada perkara yang lebih menarik berbanding berbual dengan seseorang yang mempunyai
perkara untuk diperkatakan. Anda tidak lagi menjadi kanvas putih yang membosankan,
pengembaraan telah mewarnakan hidup anda menjadi lebih menarik berbanding sebelumnya.
Bicara tentang pengembaraan dengan kawan-kawan dapat membuka mata mereka tentang anda dan
dunia pengembaraan, malah anda mungkin menjadi inspirasi kepada mereka yang baru hendak
keluar melihat dunia.
5. Dewasa dengan kaya budaya
Bila mengembara, anda terdedah dengan pelbagai budaya yang sebahagiannya pasti memberi
impak kepada kehidupan anda. Dengan mempelajari budaya asing, anda akan melihat sesuatu
dengan pelbagai perspektif. Setiap budaya adalah berbeza, begitu juga dengan setiap
manusia. Pertukaran budaya juga menjadikan anda lebih peka dengan sekeliling, malah minda
menjadi lebih merdeka dan berfikir lebih luas dalam berbicara dan mengungkapkan pendapat.
6. Belajar berdikari dan menjadi lebih bertanggungjawab
Mengembara adalah cara terbaik untuk belajar berdikari. Bila anda mengembara, semuanya
bergantung pada diri anda sendiri. Anda bertanggungjawab menguruskan tiket penerbangan,
penginapan, pengangkutan, pasport, duit dan sebagainya. Malah kesusahan dan kesulitan yang
dialami semasa pengembaraan juga boleh menjadikan perjalanan anda lebih bermakna.
7. Belajar menguruskan kewangan
Kehabisan duit boleh menjejaskan perjalanan. Walaupun duit sebenarnya bukan menjadi
masalah utama, tetapi tanpa duit di zaman ini, segalanya mungkin boleh menjadi mustahil
untuk dilaksanakan. Tiada zon selesa apabila anda keluar mengembara, segalanya bergantung
pada diri anda sendiri dalam mengawal keluar-masuk kewangan dari poket anda. Maka
disebabkan itu, pengembaraan menjadi platform terbaik untuk anda belajar mengurus
kewangan.
8. Tidak menyesal di kemudian hari
Tiada yang lebih teruk daripada meniti usia yang semakin meningkat dengan menyesal atas
perkara yang anda tidak lakukan ketika di usia muda. Terlalu banyak untuk dilalui dan
dilihat di dunia ini, jadi kenapa harus tunggu di kemudian hari untuk menikmati kehidupan
anda? Tiada alasan kukuh kenapa anda harus menghabiskan masa muda anda dengan hanya
bekerja. Seperti kata pepatah, jangan hidup untuk bekerja... kerja untuk hidup.
9. Kerana anda memang berhak menikmati pengembaraan
Hell yeah! Anda semua berhak memiliki masa terbaik untuk mengembara dan melihat apa yang
ada di luar sana. Jangan tunggu lagi, mulakanlah langkah pertama anda untuk menjelajah
dunia. Jangan biarkan peluang ini terlepas, terokalah dunia ketika anda masih muda.
Ulasan
Catat Ulasan