Salah Al-Bardaweel
GAZA: Parti politik Palestin, termasuk Hamas dan Fatah, bersetuju mengadakan pilihan raya
umum menjelang akhir tahun depan, menurut kenyataan bersama beberapa kumpulan semalam
susulan rundingan di Kaherah.
Hamas dan Fatah menandatangani perjanjian damai Oktober lalu dalam rundingan anjuran Mesir
selepas Hamas bersetuju menyerahkan pentadbiran di Gaza, termasuk sempadan lintasan Rafah,
sedekad selepas merampas wilayah itu dalam perang saudara.
Kumpulan Palestin di Kaherah berkata, mereka menyerahkan pilihan tarikh akhir pilihan raya
umum itu kepada Presiden Mahmoud Abbas.
Parti Fatah yang mendapat sokongan Barat hilang kawalan ke atas Gaza kepada Hamas, yang
dianggap kumpulan pengganas oleh kebanyakan pihak di Barat dan Israel, dalam peperangan pada
2007.
Namun bulan lalu, Hamas bersetuju menyerahkan kuasa di Gaza kepada Fatah dalam perjanjian
anjuran Mesir.
Pegawai Hamas yang terbabit dengan rundingan itu, Salah Al-Bardaweel, menyifatkan perjanjian
semalam itu 'masih samar' dan meluahkan kebimbangan ia gagal menyelesaikan isu utama seperti
menarik balik sekatan dikenakan Abbas dan membuka sepenuhnya lintasan antara Gaza dan Mesir.
Rundingan juga gagal menyatakan tanggungjawab keselamatan di Gaza, yang setakat ini masih
kekal di angan pasukan keselamatan Hamas. - Reuters
sumber:BH
Ulasan
Catat Ulasan