Digelar Jelmaan Zakir Naik Di Malaysia, Ustaz Auni Kata Ilmunya Masih Kurang Untuk Dibandingkan Dengan Tokoh Hebat Itu
Penceramah bebas Ustaz Auni Mohamed, 41, digelar sebagai Zakir Naik Malaysia kerana mahir
dalam ketamadunan Islam berserta fakta ceramahnya tidak pernah diketahui umum.
Antara ceramah yang menjadi tarikan serta pujian adalah sejarah berkaitan kapal Titanic,
Freemason, The Da Vinci Code, fitnah akhir zaman, kemunculan dajjal, Yakjuj dan Makjuj serta
Daish dan Syiah.
“Saya hanya manusia biasa yang mahu menegakkan kebenaran. Kita perlu akui bahawa
kegemilangan Islam bermula daripada ketamadunan,” katanya.
Beliau yang merupakan guru agama di Sekolah Kebangsaan Seri (SK) Relau, Jalan Paya Terubong,
Bayan Lepas, Pulau Pinang mendapat pujian daripada netizen yang menganggap ilmunya begitu
menakjubkan.
Berikutan itu, ada yang beranggapan penceramah bebas ini adalah jelmaan penceramah terkenal
dari India iaitu Ustaz Zakir Naik apabila setiap kandungan ceramah disampaikan berasaskan
fakta, hadis dan al-Quran.
Apa yang mengagumkan apabila ceramahnya disiarkan di Youtube oleh Abu Khadijah Studio (AKS)
menampakkan Auni tidak membaca sebarang rujukan ketika menyampaikan butiran.
Jelas anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu setiap isi kandungan ceramahnya berdasarkan
kajian dijalankan, kebenaran dan fakta.
“Saya menafikan diri ini seperti Ustaz Zakir Naik, bahkan ilmu dimiliki juga masih kurang
berbanding beliau (Zakir Naik). Saya makan dan minum seperti manusia biasa, tetapi memiliki
cara tersendiri untuk berdakwah,” tambahnya.
Beliau pernah melanjutkan pelajaran di sebuah universiti di Kaherah, Mesir pada 1995 hingga
2004 dalam jurusan Perundangan Islam.
“Sepanjang berada di Mesir, saya menuntut ilmu ketamadunan Islam melalui dua guru agama di
negara terbabit. Saya mengikuti kajian, bacaan dan menerima pengetahuan sejarah betapa
gemilangnya Islam suatu ketika dahulu.
Tambahnya, beliau begitu meminati ilmu ketamadunan Islam dan pengkajian dilakukan atas
kemahuan sendiri.
“Islam berdiri atas tiga dasar iaitu akidah, syariat dan akhlak. Sesungguhnya kebenaran
Islam diteladani melalui Nabi dan Rasul,” katanya.
Setelah menamatkan pengajian di Mesir, beliau berkhidmat sebagai guru Jawi, al-Quran, Arab
dan Fardu ain (JQAF) di SK Relau sehingga kini.
“Saya mula menyampaikan ceramah ketamadunan Islam secara berjadual bermula 2004 hingga 2013.
Kerja dakwah diteruskan secara tetap pada 2014 sebaik AKS merakam ceramah dan memuat naik di
Youtube,” katanya.
Beliau bersyukur berpeluang menjelajah banyak negeri tanpa halangan bahkan masyarakat Islam
di negara ini menerima ceramahnya.
Menurut Auni, kebolehan berceramah tanpa membaca kitab serta memberikan fakta yang unik
telah dipelajari oleh gurunya iaitu kaedah mengingat.
“Untuk kuat ingatan, jangan meninggalkan solat dhuha dan tahajud. Selain itu amalkan membaca
doa antara dua khutbah Jumaat iaitu surah Yusof ayat 101. Sebenarnya konsep mengingat
menyamai computer maping iaitu hanya pemilik komputer tahu di mana data disimpan di dalam
fail.
“Begitu juga otak manusia perlu menghafal dan menghadam ilmu,” katanya yang berpegang pada
konsep pegangan sejarah yang benar tidak semestinya rasmi dan sejarah yang rasmi tidak
semestinya benar.
Tambahnya, beliau bakal diundang menyampaikan ceramah di Universiti Pendidikan Sultan Idris
(UPSI), Perak pada Februari tahun depan dan akan mengupas kuliah berjudul Adam Sebelum Adam.
“Alhamdulillah, selain menyampaikan ceramah, saya kini menjalankan kajian mengenai Atlantis
Lemuria, Hubungan kerajaan Sulaiman dan Balqis serta Mount of Ophir di Nusantara,” katanya.
sumber:siakapkeli
Ulasan
Catat Ulasan