BEKAS Inspektor polis, P Kavikumar, 27, dijatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun dan
denda sebanyak RM15,000 di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini selepas didapati bersalah
menerima suapan berjumlah RM2,000, di Jalan Bukit Bakar, Machang pada 13 Januari 2015
lalu. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
KOTA BHARU: Bekas inspektor polis dihukum penjara tiga tahun dan denda RM15,000 oleh
Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, selepas didapati bersalah menerima suapan berjumlah
RM2,000, dua tahun lalu.
Hakim Adli Abd Ghalib mengenakan hukuman itu selepas tertuduh, P Kavikumar, 27, gagal
menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima suapan berjumlah RM2,000 daripada Mohd
Zulhafizi Wan Mohd Zulkefly, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan, kononnya
atas kesalahan merogol di Jalan Bukit Bakar, Machang, pada jam 6 petang, 13 Januari 2015.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009
(Akta 694) yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak
kurang lima kali ganda daripada jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang
lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Shahidah Muslimah Roslan, memohon mahkamah mengenakan
hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.
Beliau berkata, tertuduh sebagai anggota polis sepatutnya memberi perlindungan kepada
orang awam, namun mengambil kesempatan di atas perkara berkenaan.
"Selepas memanggil 10 saksi, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie ini
terhadap tertuduh.
"Tertuduh juga gagal membuktikan dia tidak bersalah dan keterangan yang dikemukakan
berbentuk penafian semata-mata," katanya.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon supaya hukumannya
dikurangkan atas alasan bekerja sebagai pemandu teksi, selepas tidak lagi berkhidmat
sebagai pegawai polis dan perlu menanggung tiga adiknya yang sedang belajar serta ayahnya
seorang kurang upaya (OKU).
sumber:BH
Ulasan
Catat Ulasan