MEMBACA al-Quran dapat melembutkan hati yang keras. . - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
SECARA teorinya setiap orang yang bangkit dari tidur dalam waktu sepuluh minit pertama akan
menentukan nilai positif dirinya sepanjang hari. Dengan kata lain, sepuluh minit selepas
bangkit dari tidur hendaklah positifkan diri dengan emosi terbaik supaya mendapat hasil
tindakan yang positif.
Menerusi rancangan Islam Itu Indah di IKIMfm, Ustaz Pahrol Muhamad Juoi, berkata apabila
bangkit dari tidur hendaklah berada dalam situasi positif seperti berfikir, bercakap dan
bertindak dengan perkara yang baik.
Katanya, tindakan dan cara berfikir pada awal pagi akan menentukan kejayaan kita pada hari
itu. Sebab itu perlu pertahankan perasaan dan emosi positif sehingga jam 10 pagi kerana
apabila memperoleh pagi yang baik, ia akan mempengaruhi seluruh hari kita.
"Ada sesetengah kita apabila bangkit dari tidur akan berasa perkara negatif seperti marah,
sedih, kecewa dan kekurangan, menyebabkan perasaan tidak keruan. Jika berperasaan begini,
hendaklah baiki semula hati supaya perkara negatif tidak menjejaskan tindakan kita,"
katanya.
Banyak bersedekah
Beliau berkata, membuang rasa kemarahan adalah dengan memaafkan kerana memaafkan orang lain
bererti kita memaafkan diri sendiri. Jika ada perasaan resah gelisah, itu tandanya dosa kita
kepada Allah SWT dan tindakan yang perlu diambil adalah memperbanyakkan istighfar serta
bertaubat.
Begitu juga jika bangun dari tidur kita berasa tidak ceria dan sedih, bererti kita kurang
memberi kerana bijak pandai mengungkapkan, yang memberi itu lebih bahagia daripada mereka
yang menerima. Justeru, ringan-ringankan tangan untuk menghulur sedekah dan memberi apa yang
termampu.
Perbuatan memberi akan mendatangkan rasa bahagia dalam hati. Pepatah juga menyebut, tangan
yang menghulur bunga mawar pastinya berbau harum. Oleh itu, memberi mendatangkan bahagia
kepada penerima dan nikmat kebahagiaan lebih lagi dirasakan oleh yang memberi.
Jika kita berasa rezeki, masa atau tenaga yang dimiliki tidak mencukupi, maka cepat-cepatlah
ucapkan 'Alhamdulillah' kerana berasa syukur akan menjadikan kita berasa cukup.
Sentiasa bersyukur
Menurut Pahrol, secara prinsipnya, apabila kita bersyukur dengan hal yang sedikit Allah SWT
akan menambah lebih banyak nikmat dan kecukupan kepada kita. Jangan sesekali menunggu
mendapat nikmat banyak baharu hendak bersyukur.
Katanya, nilai syukur bukan berapa banyak yang kita peroleh tetapi bersyukurlah dengan apa
yang kita ada.
Begitu juga jika didatangi rasa malas apabila bangkit dari tidur, itu bukan bermakna kita
tidak mampu melakukan sesuatu kebaikan atau apa sahaja perkara yang perlu dilakukan, tetapi
rasa malas datang kerana dosa yang sudah melekat pada pancaindera kita.
Jika pancaindera sudah terbiasa dihidangkan dengan perkara buruk atau maksiat, ia
menyebabkan kita menjadi malas dan tidak bermaya melakukan perbuatan mendatangkan manfaat
dan kebaikan.
Hasil makanan haram
Perasaan malas juga disebabkan kita banyak memakan makanan haram. Makanan haram itu
barangkali adalah hasil daripada pekerjaan yang tidak halal. Mungkin juga hasil pendapatan
kerana kerja curi tulang atau tidak sempurna.
Begitu juga makanan yang datang daripada sumber syubhah menyebabkan ia tidak halal dimakan.
Ini yang menyebabkan kita menjadi bosan dan malas kepada perkara baik seperti malas untuk
mendengar bicara ilmu, menolong orang dan sebagainya.
Oleh itu, jangan sesekali memandang remeh perilaku kita setiap hari. Hati yang keras sukar
untuk dilembutkan jika kita sendiri tidak berusaha melenturnya dengan mengikuti pengajian
agama di majlis ilmu, membaca al-Quran, berzikrullah dan berselawat kepada Nabi Muhammad
SAW.
Bangkit pada awal pagi dengan hati sentiasa bersemangat dan selalu bersangka baik terhadap
kehidupan. Ia akan diperoleh apabila hati bersih daripada segala dosa dan noda. Mukadimah
akan menentukan natijah dan menjadi Mukmin berjaya serta cemerlang mestilah mengikuti ajaran
agama Islam.
sumber:BH
Ulasan
Catat Ulasan