Dunia ini medan bagi segala amalan sama ada kebaikan atau keburukan di mana akan berlaku pertembungan mereka yang
bersama Allah dan mereka yang cenderung kepada hawa nafsu. Setiap manusia diciptakan oleh Allah mempunyai nafsu.
Nafsu yang ada pada manusia adalah ujian Allah.
Jika manusia mampu menguasai nafsunya bermakna dia berjalan mengatasi sebahagian besar daripada ujian Allah yang
cukup berat. Sekiranya nafsu dididik ke arah kejahatan dan melalui sistem yang jahat, maka nafsu akan menjadi jahat
dan liar.
Maka, akan lahirlah mereka yang mempunyai kepandaian, tetapi digunakan ke jalan yang salah. Ini amat bahaya kepada
kehidupan manusia kerana masyarakat akan terdedah kepada kehancuran.
Justeru, nafsu perlu dikenali tahapnya agar mudah diperangi kerana nafsu secara fitrahnya akan membayangi kejahatan
melainkan mereka yang mendapat rahmat daripada Allah SWT.
Firman Allah SWT: "Sesungguhnya nafsu itu akan mendorong kepada kejahatan melainkan nafsu yang diberi rahmat oleh
Allah SWT." (Surah Yusuf, ayat 53).
Ketika Rasulullah SAW dan sahabat balik dari peperangan Badar, Rasulullah SAW bersabda: "Sebenarnya kita baharu
balik dari peperangan yang kecil kepada peperangan yang maha besar." Sahabat bertanya: "Apakah peperangan yang maha
besar itu ya Rasulullah?"
Jawab Baginda: "Perang melawan nafsu." (Hadis Riwayat Baihaqi).
Hati boleh binasa
Nafsu amarah tidak dapat dikawal dengan sempurna oleh hati, jika sekiranya hati tidak dapat dibantu oleh ilmu,
hikmah kebijaksanaan dan akal. Jika gagal, maka hati akan binasa. Akibatnya, seseorang itu mudah terjerumus ke arah
perbuatan yang melanggar syariat, tidak beradab, tidak berperikemanusiaan, bertindak sesuka hati, zalim serta
pelbagai keburukan dan bencana kepada diri serta persekitaran.
Oleh itu, perjuangan menentang hawa nafsu dianggap suatu pengorbanan yang amat dihormati dan menjurus kepada jalan
yang sebenar. Allah SWT menjelaskan dalam firman-Nya: "Mereka yang berjuang ke jalan Kami, nescaya Kami akan
tunjukkan jalan Kami. Sesungguhnya Tuhan berserta dengan orang yang berbuat baik." (Surah al- Ankabut, ayat 69).
Sesiapa yang bermujahadah terhadap nafsu, akan ditingkatkan darjatnya kepada kedudukan yang lebih baik dan Allah
akan memberi petunjuk kepada segala perkara kebaikan.
Maka, nafsu perlu dididik dan diasuh mengikut telunjuk iman kerana nafsu adalah musuh utama kepada manusia sebelum
datangnya musuh kedua iaitu syaitan.
Nafsu adalah musuh dalaman sedangkan syaitan musuh luaran. Apabila nafsu sudah ditundukkan dan ia taat kepada
perintah Allah maka baharu syaitan akan dapat dikalahkan.
Sejarah nafsu
Sejarah nafsu bermula sejak zaman Nabi Adam di mana nafsu mempengaruhi anaknya, Qabil untuk membunuh saudaranya,
Habil hasil daripada hawa nafsu dari dalam jiwa manusia. Demikian Allah SWT membuat sesuatu ketetapan dalam
kehidupan manusia berdasarkan ilmu dan hikmah daripada-Nya agar dapat diklasifikasikan antara mereka yang terbaik
antara hambanya.
Pelajaran ini adalah gambaran kepada kehidupan manusia pada masa hadapan di mana perlakuan ini akan berterusan
sehingga hari kiamat. Lalu, Allah SWT mengembangkan pelajaran melalui seekor burung yang lemah sebagai jawapan
kepada pengurusan sesuatu jasad yang sudah kembali.
Umat Nabi Muhammad SAW adalah umat akhir zaman yang sentiasa ke hadapan dalam mencorakkan kehidupan berpaksikan
ketaatan kepada Allah SWT. Hubungan sebenar antara mereka dan Pencipta adalah ketaatan yang tidak berbelah-bahagi
di samping ganjaran baik yang dijanjikan Allah SWT.
Firman Allah SWT: "Mereka hanyalah menunggu berlakunya ketentuan kepada orang terdahulu (azab). Maka kamu tidak
akan mendapati apa-apa perubahan selain dari ketentuan Allah SWT." (Surah Fatir, ayat 43).
Dunia hampir ke penghujung
Sebenarnya dunia sudah hampir sampai ke penghujungnya. Berlakunya ujian, fitnah dan kerosakan yang berleluasa
adalah tanda jelas akan kedudukan usia di dunia ini.
Oleh itu, bersegeralah dalam melakukan kebaikan di samping berhati-hati dengan dosa dan kemaksiatan. Ingat bahawa
hari yang kita lalui semakin sukar kerana hampirnya kita dengan kiamat.
Sabda Rasul SAW bermaksud: "Sesungguhnya hari yang paling buruk ialah ketika hampirnya kiamat." Umat ini berada
dalam keadaan fitnah kerosakan seperti malam yang gelap gelita. Hanya orang yang berpegang dengan Allah, rasul dan
mereka bersama kumpulan orang beriman saja yang selamat darinya.
Sabda Rasul SAW bermaksud: "Tiada seorang pun nabi yang diutuskan melainkan mereka menyeru umatnya ke arah kebaikan
dan menentang kemungkaran. Sesungguhnya umat ini menerima kebaikan yang banyak pada awalnya dan diuji dengan fitnah
dan kerosakan di penghujungnya. Maka pada ketika itu berkatalah orang yang beriman: "Inilah detik kemusnahan.
Sesiapa yang ingin selamat, maka ikutilah jalan yang menuju kepada Allah dan hari kiamat." (Hadis Riwayat Muslim).
Maksud fitnah
Maka, berbahagialah buat mereka yang mati di atas landasan tauhid yang sebenar. Dari sinilah kita melihat bahawa
maksud fitnah ialah sesuatu perkara yang berlaku dan memudaratkan agama atau suatu nikmat dunia secara keseluruhan
atau sebahagian daripadanya. Segala kenikmatan dunia yang dikecapi manusia juga dikategorikan sebagai fitnah bagi
melihat sejauh manakah tahap kesyukuran seseorang terhadap nikmat berkenaan.
Firman Allah SWT: "Kami akan menguji kamu dengan kebaikan dan keburukan sebagai cubaan. Kepadanya juga kamu
dikembalikan." (Surah Al-Anbiya', ayat 35). Begitu juga ujian kepada harta dan anak pinak yang berkait rapat dengan
godaan nafsu.
Untuk menjamin keselamatan, kita hendaklah memastikan jalan yang kita pilih agar mendapat ganjaran yang dijanjikan
itu.
Fitnah dapat dibahagikan kepada dua kategori, iaitu fitnah umum dan fitnah khusus. Fitnah umum ialah bencana yang
menimpa semua masyarakat tanpa mengira kedudukan mereka dan fitnah khusus ialah bencana yang menimpa seseorang
individu sama ada terhadap dirinya, agama, harta benda atau keluarganya.
Kita juga akan melihat pertarungan yang sengit dalam menghadapi pelbagai ujian yang terkadang akan menguji
kesabaran dan emosi sehingga kita berasakan bahawa kitalah orang yang paling malang di dunia ini sedangkan hakikat
sebenar adalah sebaliknya. Kita lupa bahawa Allah SWT menyediakan pelbagai bentuk bonus ganjaran kepada mereka yang
diuji.
Ganjaran orang bersyukur
Bagi mereka yang menghadapi ujian getir dan menghadapinya dengan ketabahan serta bersabar di samping terus
berusaha, iman mereka akan bertambah dan mendapat ganjaran orang yang bersabar. Mereka yang bersyukur dengan nikmat
dikurniakan, akan mendapat ganjaran orang yang bersyukur.
Sabda Rasul SAW: "Alangkah hebatnya seorang Muslim di mana apabila ditimpa musibah mereka sabar dan apabila
dikurniakan nikmat mereka bersyukur. Itulah yang terbaik bagi mereka." (Riwayat Muslim).
Ketahui segala kelemahan kita dalam menghadapi ujian dari Allah SWT akan dapat ditampung jika sekiranya kita penuhi
kehidupan kita dengan amalan solat dan terus melakukan kebajikan pada setiap masa.
Antara amalan penting dalam masyarakat ialah mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran kerana ia akan
menyelamatkan umat daripada bencana umum yang akan diturunkan kepada semua seperti firman Allah SWT: "Takutlah kamu
akan seksaan yang akan diturunkan kepada semua dengan kezaliman yang dilakukan oleh orang lain." (Surah Anfal, ayat
25).
Sabda Baginda lagi: "Demi diriku dalam genggaman-Nya, kamu hendaklah menyeru manusia ke arah kebaikan dan mencegah
kemungkaran atau kamu akan diazab kerananya dan doa kamu tidak akan dimakbulkan." ( Riwayat Tirmizi).
Dengan melakukan kebaikan secara bersungguh-sungguh dapat menjinakkan hawa nafsu yang sentiasa rakus dalam
merencanakan kehidupan dunia. Ini antara tugas manusia yang dianugerahkan sebagai khalifah di muka bumi bagi
mengimbangi hawa nafsu yang cenderung kepada kejahatan.
Ulasan
Catat Ulasan