PENYERANG sensasi PSG, Neymar tak mungkin sertai gergasi Sepanyol, Real Madrid menurut bekas
rakan sepasukan Luis Suarez.
BARCELONA: Penyerang Barcelona, Luis Suarez bertegas dia tidak percaya bekas rakan
sepasukannya, Neymar akan menyertai seteru utama, Real Madrid disebabkan 'kekagumannya'
terhadap Barca.
Neymar menghabiskan tempoh selama empat tahun di Nou Camp sebelum membuat perpindahan penuh
sensasi ke Paris Saint-German pada Ogos lalu dengan nilai rekod dunia AS$264 juta (RM1.073
bilion).
Begitupun, timbul khabar angin yang mengatakan pemain Brazil itu akan kembali ke Sepanyol
untuk menyertai juara Eropah itu selepas dia dikatakan bertelagah dengan rakan senegara
Suarez di Uruguay, Edison Cavani.
"Tidak, langsung tidak," kata Suarez kepada akhbar sukan harian Sepanyol, Marca ketika
ditanya mengenai prospek perpindahan Neymar ke Real.
"Sejujur-jujurnya, saya tidak melihatnya. Saya tahu kekaguman Neymar terhadap Barcelona dan
rakan sepasukannya. Saya tidak melihat bagaimana dia akan bermain untuk Real Madrid."
Bersama Pemain Terbaik Dunia lima kali, Lionel Messi, Suarez dan Neymar membentuk gandingan
serangan paling berbahaya untuk membantu Barca menjulang dua gelaran La Liga dan Liga
Juara-Juara dalam tempoh tiga musim.
"Neymar sudah cukup matang dan sedar dengan keputusan yang diambilnya," kata Suarez. "Saya
yakin ia menyakitkan kerana dia gembira di sini, tetapi kami perlu menerima yang dia mahukan
cabaran yang lain dan dia mahu mengambilnya." - AFP
sumber:beritaharian
Ulasan
Catat Ulasan