THAM Yut Mooi dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM15,000 selepas didapati
bersalah atas tiga pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghina Nabi Muhammad SAW pada Mei
tahun lalu di dalam ruang solat Masjid Abu Ubaidah, di Taman Perpaduan Ulu Kinta, Ipoh. -
Foto Effendy rashid
IPOH: Seorang suri rumah dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda keseluruhan RM15,000
oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan
mengeluarkan kata-kata menghina Nabi Muhammad SAW pada Mei tahun lalu.
Majistret Siti Hanum Md Sah membuat keputusan itu selepas meneliti semua keterangan yang
dikemukakan pihak pendakwaan dan pembelaan dalam kes berkenaan dan mendapati pihak pembelaan
gagal menimbulkan keraguan munasabah.
Tham Yut Mooi, 46, didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 5.30 petang pada 4 Mei tahun
lalu di dalam ruang solat Masjid Abu Ubaidah, Jalan Perpaduan di Taman Perpaduan Ulu Kinta
di sini.
Dia dituduh mengeluarkan kata-kata 'Nabi Muhammad babi' yang didengar oleh tiga individu
iaitu Abdul Rahim Mat Diah, 53; Mohd Yunos Harun, 73 dan Mohd Halim Buyong, 44, yang
dilakukan dengan niat untuk melukakan perasaan keagamaan individu berkenaan.
Dia didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman
penjara maksimum setahun, atau didenda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab manakala tertuduh diwakili
peguam, WC Chiang.
Terdahulu, Fadhli memohon kepada mahkamah supaya mengenakan hukuman yang setimpal terhadap
tertuduh kerana ia kesalahan yang serius, membabitkan sensitiviti agama, kepentingan awam
dan tidak seharusnya dilakukan oleh sesiapa pun.
Katanya, perkataan menghina itu tidak seharusnya dikeluarkan di hadapan masyarakat Islam
malah di hadapan penganut agama lain sekalipun kerana sebagai rakyat Malaysia setiap agama
mesti menghormati antara satu sama lain.
Sementara itu peguam tertuduh memohon kepada mahkamah memberikan hukuman yang ringan kerana
tertuduh mempunyai dua anak dan ibu bapa yang perlu dijaga.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman terhadap tertuduh dijalankan serentak dari tarikh
sabitan malah tertuduh berdepan hukuman penjara tambahan selama tiga bulan bagi setiap
kesalahan jika gagal membayar denda ditetapkan.
Mahkamah juga membenarkan pelaksanaan hukuman penjara ditangguhkan sehingga tempoh rayuan
kes berkenaan selesai dengan syarat tambahan perlu membayar jaminan sebanyak RM5,000 dengan
seorang penjamin serta pasport diserahkan kepada mahkamah.
sumber:Berita Harian
Ulasan
Catat Ulasan