PENGUMUMAN Presiden Donald Trump mengenai Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, pada 6
Disember lalu sudah mencapai tahap krisis dunia terbesar, mengatasi kritis pengumuman Trump
terhadap Korea Utara November lalu. Sekali gus, sifat gila akal Presiden Amerika Syarikat
(AS) itu sudah nyata.
Kini, AS berdepan dua fasa kritikal terbaru: Pertama, kebencian dan penentangan dunia Islam
terhadap serta hegemoni AS memihak dan membela Israel. Kedua, penentangan dunia bukan Islam
terhadap AS yang jelas menyalahguna kuasa wilayah dan antarabangsa.
Persidangan tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), baru-baru ini, mengutuk dan menolak
pengumuman Trump itu, serta mengumumkan Timur Baitulmaqdis, pusat negara Palestin. Namun,
dipandang sepi dan sinis Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan langsung tidak
diulas AS.
Netanyahu menganggap pengumuman OIC itu sebagai mainan mendedahkan, keintiman Israel-AS
selama ini termaktub dan layak dihargai setinggi-tingginya.
Sementara itu, sebuah kem pelarian utara Gaza diserang Israel susulan 'tunjuk kuasa' oleh
Israel, simbolisme kepada dunia "apa anda boleh buat?" Jet pemusnah Israel merayau angkasa
Palestin sebaik sahaja pengumuman Trump itu dihebahkan.
Gerbang pintu keluar masuk di sempadan Gaza, The Kerem Shalom Crossing juga ditutup oleh
Israel. Akibatnya, bekalan makanan rakyat pelarian dan tempatan tidak dapat disampaikan.
Israel dengan pantas melakukan serangan ke atas tentera Hamas di kawasan Palestin khasnya
Gaza awal Khamis lalu. Pemerhatian Russia melaporkan, tindakan Israel kini bagi mewujudkan
suasana 'ibu kota' terhadap wajah fizikal Baitulmaqdis.
Dua isu terbesar harus dijawab oleh dunia Islam, susulan perbuatan khianat Trump itu.
Pertama, apakah justifikasi perundangan antarabangsa yang boleh mengiktiraf perbuatan
Amerika itu sebagai sah? Jawabnya tiada.
Tindakan Trump tak berasas
Pengumuman Trump itu hanya tindakan pro-Israel yang tidak berasas kepada mana-mana
konvensyen undang-undang antaraBangsa. Ia bertentangan semua Resolusi Pertubuhan Bangsa-
bangsa Bersatu (PBB) terdahulu. Setakat ini, PBB mengeluarkan 5 Resolusi bertaraf
perhimpunan (UN Assembly Resolutions) dan 3 Resolusi Majlis Keselamatan (Security Council
Resolutions).
Semua resolusi itu menidakkan hak Israel menduduki mana-mana kawasan atau wilayah Palestin
tanpa hasil perundingan. Pengumuman itu nyata tidak menghiraukan ikatan persefahaman
keamanan Oslo 1993 dan dokumen proses keamanan Oslo II serta yang ditandatangani di Tabla,
Mesir pada 1995.
Baitulmaqdis selama ini diiktiraf, bandar suci tiga agama Abrahamik - Judaisme, Kristian dan
Islam sudah tercabul melalui politik dangkal seorang presiden bertaraf gila dunia.
Isu kedua, apakan tindakan dunia Islam dan bukan Islam terhadap Amerika? Ada pemimpin negara
Islam sudah membuat kenyataan masing-masing. Raja Salman Arab Saudi menolak pengumuman Trump
dan mengiktiraf Palestin dengan Timur Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya.
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengeluarkan amaran akan keluar dari Pertubuhan
Perjanjian Atlantik Utara (NATO) jika Trump teruskan implimentasinya.
Negara Islam wajib bersatu
Pendirian Turki kelihatan paling bersifat 'bertindak' disambut baik Presiden Russia,
Vladimir Putin. Kedua-dua pemimpin itu kelihatan saling membantu dalam krisis yang membakar
semangat di Asia Barat. Malaysia turut mengutuk tindakan Amerika itu. Semangat bersekutu
sudah wujud, tetapi belum jelas apakah tindakan negara Islam?
Kali ini, semua negara Islam wajib bersatu di bawah OIC atau secara unilateral melakukan
sesuatu mengikut lunas undang-undang antarabangsa. Kaedah terbaik ialah, bersandarkan
resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Majlis Keselamatan PBB, mengasak badan
dunia itu mengimplimentasi keputusan 1970-an, 1980-an, 1990-an serta resolusi pasca 2000
berkaitan Palestin. Misalnya, menentukan persempadanan konsep dua negara - Palestin dan
Israel. Ini termasuk penentuan kedudukan Masjid Al-Aqsa serta sempadan perbandaran
Baitulmaqdis timur dan barat.
Tindakan yang berpaksikan perkara berikut amat relevan disusul dan dijayakan:
Diwujudkan Badan Bertindak PBB Negara Palestin dan penentuan hak kenegaraan Israel mengikut
perisytiharan 1948 di samping menentukan implikasi Perisytiharan Balfour oleh Britain pada
tahun itu yang memihak kepada rejim Israel. Apa status kuasa Britain ketika itu untuk
membuat penentuan sedemikian sedangkan hak Palestin yang wujud sejak enam abad Sebelum
Masehi tidak diberi sebutan jelas? Badan ini seharusnya ada pakar perundangan antarabangsa
dari negara Islam dan bukan Islam bertauliah serta latar belakang neutral.
Penolakan pengumuman Trump sebagai pengumuman bersendirian unilateral yang tidak punya asas
perundangan.
Penentuan sejarah kental yang ada pada Palestin harus dibuktikan bahawa mereka pewaris asal
kawasan Canaan yang secara sewenang-wenang diambil Yahudi.
Membuat penentuan semua kawasan Palestin dirampas Israel sejak Perang 1967, termasuk
sempadan Mesir-Israel, Tebing Barat, kawasan intifadah Hamas dan kuasa tempatan.
Pemberhentian atau gencatan senjata semua pihak menjelang tercapai butir utama dua negara,
dua kerajaan berteraskan undang-undang antarabangsa.
Penentuan tempoh 'selesai penentuan' dilakukan PBB dalam sesi khas yang tidak harus memberi
ruang khas kepada AS kerana negara itu berada di pihak 'dicurigai dan tidak neutral'.
Amat aneh, setakat ini isu tidak dihujahkan sebagai tindakan di luar undang-undang. Jika
pengumuman Trump ini tidak dibatalkan PBB, risiko Perang Dunia Ketiga amat berkemungkinan di
samping muncul kembali gerakan terorisme di luar kawalan.
AS kini mesti bersedia diperangi oleh gerombolan dan anasir ganas. Seperti disuarakan di
House of Commons London minggu lalu: "Amerika jangan terkejut jika beberapa lagi serangan 11
September dilakukan." Ahli Parlimen Britain itu mengesyorkan Trump dilarang melakukan
lawatan rasmi ke Britain.
Negara Islam kini wajib bersatu. Iran menampakkan kesungguhan dengan mengumumkan bahawa
apa-apa perbezaan perjuangan dan sistem pada zaman lalu harus dibenamkan.
Sanggupkah beberapa negara Islam menggunakan bekalan minyak sebagai faktor hukuman terhadap
AS dan memboikot beberapa kepentingan? Dunia Islam tidak harus membenarkan seorang presiden
gila di dunia Barat menentukan zaman kemanusiaan Islam masa depan.
Penulis adalah Penasihat Sosiobudaya Kerajaan
sumber:Berita Harian
Ulasan
Catat Ulasan