PORT DICKSON: Buah pinggang rosak, usus terkoyak dan patah tulang rusuk adalah antara punca kematian seorang
kanak-kanak, dipercayai akibat didera bapa kandung dan ibu tirinya.
Kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun itu, maut malam tadi ketika mendapat rawatan di Hospital Tuanku
Ja'afar Seremban (HTJS).
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Zainudin Ahmad, berkata kanak-kanak terbabit dipercayai dipukul
dengan objek tumpul di rumah keluarganya di Taman Vista Jaya, Lukut, di sini.
"Mengikut siasatan awal, mangsa dikatakan dilihat tidak sedarkan diri oleh bapa kandungnya pada jam 11.30 malam.
Bapa mangsa yang berusia 38 tahun itu cuba memberi bantuan pernafasan (CPR) kepada kanak-kanak itu, namun tidak
berjaya.
"Dia kemudian menghantar anak keduanya itu ke HTJS untuk rawatan dan kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia
ketika dirawat pada jam 12.30 tengah malam.
"Pemeriksaan awal mendapati banyak kesan lebam pada tubuh mangsa. Bedah siasat mengesahkan punca kematiannya akibat
kecederaan parah pada organ dalaman," katanya, di sini, hari ini.
Zainudin berkata, siasatan mendapati suspek pernah ditahan kerana kesalahan sama pada Jun tahun lalu selepas ibu
kandung mangsa yang sudah bercerai dengannya, membuat laporan polis apabila melihat kesan lebam pada tubuh anaknya
ketika mengambil kanak-kanak itu.
"Kes itu dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya, namun suspek dilepaskan kerana memberi alasan kecederaan itu
terjadi ketika dia mahu mendidik mangsa," katanya.
Beliau berkata, suspek ditahan selepas selesai bedah siasat di HTJS hari ini dan polis akan mendapatkan perintah
tahanan reman di mahkamah esok, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
sumber:Beritaharian
Ulasan
Catat Ulasan