SHAH ALAM: Tindakan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, menyokong
kempen undi rosak adalah kerana dipengaruhi sentimen parti pembangkang yang disertainya ketika ini.
Bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar, berkata Abdul Rashid mengharapkan parti yang
disertainya menang pilihan raya, dengan harapan oengundi tidak menyokong parti kerajaan.
Beliau berkata, kempen itu tidak sepatutnya disokong jika rakyat sayangkan Malaysia.
"Hakikatnya...saya rasa kita tidak tahu siapa pemilih yang akan merosakkan undi sama ada penyokong parti
pembangkang atau kerajaan. Jika mereka yang undi rosak ini penyokong pembangkang, maka pembangkanglah yang akan
hilang undi.
"Bagi saya undi rosak ini menyebabkan pemilih kehilangan kuasa dan hak mereka, serta terlepas peluang membuat
keputusan masa pilihan raya. Kalau kalah satu undi macam mana?
"(Pemilih) kena faham, jangan kita lepas peluang dalam membuat keputusan masa depan kita , keluarga dan negara
kita. Undi ini adalah hak kita sebagai warganegara dan undi menentukan masa depan kita serta negara.
"Jangan terpengaruh dengan dakyah merugikan dan bercanggah dengan semangat demokrasi, merugikan diri sendiri dan
merugikan masa yang kita sedang nikmati sekarang," katanya ketika ditemui media di kediamannya, di sini, hari ini.
Abdul Rashid sebelum ini dilaporkan 'menggalakkan' dan menyokong Kempen #UndiRosak, yang digerakkan di laman sosial
terutama Twitter, kononnya bagi mendidik pengundi. selepas pakatan pembangkang menamakan Pengerusi Bersatu, Tun Dr
Mahathir Mohammad sebagai calon perdana menteri jika menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Selain itu, mengulas dakwaan SPR menerima arahan Perdana Menteri untuk membuat kajian semula persempadanan kawasan
pilihan raya, Wan Ahmad berkata, Perdana Menteri tidak boleh memberi arahan sedemikian.
Katanya, kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya itu termaktub dalam perlembagaan dan SPR menjalankan
tugas berdasar tujuh undang-undang berkaitan perjalanan pilihan raya.
"Perdana Menteri tidak boleh, tidak pernah dan tidak boleh arahkan SPR buat itu dan ini (kajian semula
persempadanan) kerana semuanya termaktub dalam perlembagaan," katanya.
Baru-baru ini, beberapa wakil rakyat pembangkang menuduh SPR mengikut telunjuk Perdana Menteri untuk melaksanakan
kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya.
Wan Ahmad yang berkhidmat selama 17 tahun dengan SPR berkata, tuduhan itu juga cubaan menjatuhkan maruah SPR, yang
mana tujuh ahlinya dilantik Yang di-Pertuan Agong.
Beliau berkata, pembangkang tidak sepatutnya membuat tuduhan sebegitu sehingga mengelirukan rakyat.
"Begitu juga kenyataan yang meminta SPR kena bersikap 'neutral' atau bebas. SPR sememangnya bebas dan tidak
mendapat arahan sesiapa kecuali titah Yang di-Pertuan Agong, " katanya.
Beliau yang pernah terbabit dengan empat kali pilihan raya umum (PRU) dan 52 pilihan raya kecil (PRK) berkata,
sangat tidak adil pelbagai tuduhan dilemparkan kepada SPR.
"Sejak dulu lagi, parti pembangkang sering 'menyerang' kami yang jadi 'referee' (pengadil) ini," katanya.
Mengulas mengenai tuduhan kerajaan mengugut kakitangan awam untuk mengundi parti kerajaan, beliau berkata, undi
adalah rahsia dan pengundi tidak perlu takut untuk keluar mengundi.
Katanya, kakitangan awam tidak perlu bimbang kerana banyak penambahanbaikan sudah dibuat SPR, termasuk pemansuhan
nombor siri dalam daftar pemilih pada counter foil (kertas kaki) pada 2004.
"Kerajaan tidak pernah semak siapa undi siapa dan itu satu tuduhan tidak berasas, " katanya.
Wan Ahmad yang pernah berkhidmat sebagai Setiausaha SPR selama lapan tahun berkata, adalah wajar untuk penjawat
awam taat dan patuh kerajaan kerana mereka yang menjadi jentera melaksanakan dasar kerajaan.
sumber:BeritaHarian
Ulasan
Catat Ulasan